Friday, January 8, 2010

PENGAJARAN DARIPADA PERISTIWA HIJRAH

Peristiwa Hijrah terlalu banyak memberi pengajaran kepada umat Islam khususnya dalam usaha kita memperjuangkan Islam di muka bumi. Salah satu perkara menarik yang sangat penting dijadikan iktibar ialah wujudnya beberapa golongan yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Qur’an. Golongan ini sentiasa ada di sepanjang zaman, lantaran itu kita perlu mengambil iktibar dengannya:

  1. Golongan utama: iaitu mereka yang mula-mula berhijrah ke Madinah bilamana mendengar arahan dan perintah Rasulullah s.a.w. Mereka ini mendapat pujian dan sanjungan dari Allah bahkan Allah meredhai mereka dan mereka juga meredhai Allah.

  1. Golongan yang diberi kemaafan kerana uzur, tidak berupaya untuk hijrah samada kerana tua, kanak-kanak, golongan kurang upaya atau kerana tidak mengetahui jalan-jalan menuju Madinah.

    Allah berfirman dalam surah an-Nisa’: 98-99,maksudnya : “Kecuali mereka yang tertindas samada lelaki atau perempuan dan anak-anak yang tidak berdaya dan tidak mengetahui jalan untuk berhijrah. Maka mereka itu mudah-mudahan Allah memaafkannya. Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

    Tatkala turun ayat ini lalu berkata Habib bin Dhamrah al-Laithi seorang sahabat yang sangat tua, kepada anak-anaknya: “Tolong bawa aku ke Madinah, kerana Allah tidak mengecualikan aku, kerana aku bukan lemah ( masih gagah), dan aku juga mengetahui jalan menuju Madinah, sedang Allah hanya mengecualikan mereka yang tidak tahu jalan ke Madinah. Lalu anaknya membawanya keluar dari Mekah berhijrah menuju ke Madinah. Apabila sampai di Tanaiem, lalu ia jatuh sakit dan meninggal dunia. Maka peristiwa ini sampai ke pengetahuan sahabat-sahabat Rasulullah, lalu ada yang berkata: “Seandainya ia mati di Madinah, maka tentulah ia mendapat ganjaran pahala hijrah.”

    Maka turunlah ayat: “Barang siapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kamudian ia menemui ajalnya (kematian sebelum sampai ke tempat yang dituju) maka pahalanya telah ditetapkan disisi Allah, Maka Alah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang”.

  2. Golongan yang tidak hijrah kerana terhutang budi dengan Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka terus menetap di Mekah demi menjaga hubungan baik dengan pemuka Quraish. Mereka ini adalah sebahagian dari umat Islam yang enggan berhijrah. Mereka menyembunyikan keIslaman mereka.

    Namun bilamana berlaku peperangan Badar, lalu Abu Lahab mengajak semua golongan yang ada di Mekah bagi membantunya. Keadaan ini menyebabkan beberapa orang yang telah beriman itu, menjadi serba salah, samada keluar ke Badar, bermakna berperang melawan Islam dan Rasulullah sedangkan mereka telah menganut Islam; atau terus berada di Madinah, iman mereka selamat.

    Tetapi apa pula penilaian Abu Lahab dan pemuka Quraish? Lantaran tersepit dengan keadaan inilah menyebabkan mereka akhirnya keluar dengan pedang dan panah, bersama Abu Lahab dan Abu Jahal menuju Ke Badar, berperang bersama kumpulan yang menentang Islam. Lalu mereka mati dalam peperangan tersebut.

    Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 97:“Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat (dalam peperangan Badar) dalam keadaan mereka sedang menzalimi diri mereka sendiri, lalu malaikat menempelak mereka dengan berkata: “Bagaimana kamu ini?” Lalu mereka menjawab: “Sesungguhnya kami adalah golongan yang lemah dan tertindas di muka bumi.” Lalu Malaikat menjawab: “Bukankah bumi Allah ini luas sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?” Maka mereka ditempatkan di neraka jahanam, itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

Maka kita hendaklah bimbang tentang fenomena ini berlaku di zaman kita. Wujudnya golongan yang telah memahami perjuangan Islam, bahkan telah merasa kemanisan dalam memperjuangkan Islam, namun dalam situasi tertentu mengambil sikap menyembunyikan penglibatan dalam perjuangan Islam; dikhuatiri nanti bilamana golongan yang menentang Islam akan libatkan mereka dalam perjuangan untuk mengalahkan Islam, maka mereka akan turut serta dan akhirnya mati dalam usaha menentang Islam, nauzubillah.

Semoga Allah memelihara kita dari fitnah ini dan menjauhi kita dari golongan ini. Amin.

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Wahai Manusia,dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan.Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia,sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci,maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.Allah telah mengharamkan riba,oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.Dan dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar,maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti nya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia,sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu ,mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik,berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia.Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia ,dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini,Sembahlah Allah,Dirikanlah solat lima kali sehari,Berpuasalah di Bulam Ramadan dan Tunaikanlah Zakat dari harta kekayaan kamu.Kerjakanlah ibadat Haji sekiranya kamu mampu.Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain.Kamu semua adalah sama,tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah,bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan.Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia,tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.Oleh itu wahai manusia,nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.Sesumgguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara,yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya ,nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain.Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.Saksikanlah Ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba mu.

(Khutbah ini disampaikan oleh Rasullah s.a.w pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah,Gunung Arafah.)