Pelbagai reaksi diberikan apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan Dato' Seri Najib Tun Razak pada awal pemerintahannya sebagai kepala negara. Ada yang memuji gagasan ini dan ada yang mengkritiknya.
Sesetengah rakyat merasakan 1Malaysia adalah gagasan yang cuba mewujudkan satu bangsa Malaysia hingga melenyapkan kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia. Mungkin anda sendiri juga tidak memahami maksud sebenar gagasan ini. Sila baca booklet ini untuk kefahaman asas tentang gagasan ini agar perbincangan seterusnya lebih mudah difahami.
Sudah menjadi rentak dan rutin seorang pemimpin politik untuk perkenalkan suatu yang baru dalam siri pemerintahannya. Ini bertujuan memberi semangat baru dan bukti kerja yang dilakukannya. Kerana itulah juga, 1Malaysia pun diwujudkan.
Jika dibaca dan diteliti gagasan ini, saya akui ianya sangat baik. Ia tidak membawa kepada penghapusan etnik dan bangsa yang pelbagai. Fahaman untuk mewujudkan bangsa Malaysia itu adalah salah. Namun Dato' Seri Najib sendiri pun tersalah faham akan gagasan yang diwujudkannya apabila dia mengucapkan kenyataan berikut semasa mengumumkan gagasan ini, "Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia."
Maka tidak hairanlah nilai-nilai yang terkandung di dalam booklet tadi sehingga ke hari ini tidak nampak diperjuangkan pemimpin negara. Silaplah jika pemimpin kita mengambil formula lapuk dalam menjayakan sesuatu. Formula lapuk yang saya maksudkan ialah 'meninggikan sesuatu dengan cara merendahkan sesuatu yang lain atau bertentangan dengannya'.
Sebagai contoh, seorang arkitek inginkan pujian kliennya atas rekaannya dengan cara memburukkan rekaan arkitek lain. Formula ini mungkin berjaya jika kliennya tidak bijak dalam menilai arkitek itu.
Kini saya percaya ramai rakyat Malaysia sudah bijak. Tidak seperti zaman dahulu, rakyat tidak mendapat pendidikan sempurna hinggakan paradigma pemikiran agak sempit dan mudah dipermainkan.
Oleh itu, saya menyeru agar 1Malaysia mengambil formula baru iaitu 'jika ingin dipandang tinggi, hendaklah tunjukkan kehebatan yang ada pada diri'. Dalam erti kata lain, 1Malaysia harusnya menunjukkan bagaimana perpaduan yang jitu dapat dihasilkan, bukannya memaparkan kisah-kisah perpecahan agar rakyat bersatu.
Paparan kisah-kisah penentangan antara kaum, perselisihan faham antara etnik dan seumpamanya adalah satu tindakan bahaya yang mengundang kepada perpecahan. Inilah yang nampaknya cuba dimainkan oleh pemimpin politik.
Saya berpandangan 1Malaysia seolah-olah dijadikan umpan untuk rakyat merasa keperluan untuk bergantung dan menyokong pemerintah yang kian kekurangan sokongan. Isu-isu perkauman dimainkan dan dipaparkan agar masyarakat jadi takut dan gelisah lantas mengambil semangat 1Malaysia supaya kembali bersatu.
Tidak perlu perpecahan untuk perpaduan
Pada hemat saya, rakyat Malaysia tidak berpecah langsung. Cuma masing-masing banyak bersikap individualistik. Keakraban sesama kaum sendiri adalah lumrah sepertimana akrabnya abang dengan adik kandungnya. Cuma jambatan penyatuan dalam pelbagai bidang antara berbilang kaum masih belum utuh.
Tambahan pula, pemimpin politik mengapi-apikan semangat perkauman dengan cara memaparkan isu perpecahan atau mewujudkan isu tersebut. Ahli akademik di Fakulti Pendidikan UKM, Puan Sri Prof Dr Rohaty Mohd Majzub juga tidak bersetuju dengan kewujudan 1Malaysia sebagai jawapan kepada perpaduan yang terlerai di kalangan rakyat Malaysia.
Katanya,"Dahulu kita ukur sejauh mana seseorang itu bersikap perpaduan seperti adakah orang akan berdiri jika Negaraku dimainkan? Tetapi sekarang pengukuran perpaduan lebih kompleks daripada itu kerana kita perlu mendalami pemikiran dan dasar hati manusia."
"Saya tidak berani hendak kata perpaduan kurang kecuali telah ada data kuantitatif dan kualitatif untuk menyokongnya. Jika ukuran telah berubah tentu apa yang kita ingin lihat juga telah berubah."
Apakah tindakan mengheret kepala lembu adalah suatu perkara yang boleh diterima akal dalam usaha menyatukan rakyat? Perlakuan sebegini mampu mengundang tragedi berbunuhan jika kaum India pula menghina keesaan Allah Maha Kuasa.
Ini adalah perlakuan menyalahi pesan Allah:
"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan."(Surah Al-An'am: 108)
Walaupun perlakuan ini didakwa dilakukan oleh sekumpulan ahli NGO, kerajaan Malaysia seharusnya mengutuk keras tindakan ini kerana ia merosakkan agenda 1Malaysia. Perlakuan ini kelihatan didorong oleh semangat politik kebencian orang Melayu berbanding semangat pertahan agama.
[Mereka kini didakwa bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948]
Jangan pula dalam pada kita mengibarkan bendera perpaduan kaum, kita sesama kaum Melayu pula cuba memutuskan tali bendera yang menarik bendera di tiangnya. Ketepikan faham politik, tegakkan kebenaran dan keadilan.
Adalah tidak bijak jika perpaduan yang cuba ditonjolkan dibuktikan dengan cara menimbulkan perpecahan terlebih dahulu. Bertindaklah sebijaknya dengan beri faham kepada rakyat setiap asas dalam gagasan 1Malaysia secara praktikal dan positif agar rakyat lebih optimis ke arah mengukuhkan jambatan penyatuan antara kaum dan sesama kaum.
Usah sibuk memikirkan undian terbanyak, fikirkan untuk berbuat terbanyak. Dengan cara inilah, rakyat akan berfikir untuk memberikan undi terbanyak untuk kalian.
Mencari isu sepakat
Saya sering terkenangkan contoh perpaduan antara PAS dan BN berdasarkan isu Palestin pada 8 Mei 2002 bertempat di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dr Mahathir boleh berjabat tangan dengan Allahyarham Fadzil Noor.
Isu-isu yang disepakati sebegini harus diperbanyakkan dan simbol perpaduan atas isu sebegini diperlihatkan. Forum, seminar, dan sebarang program yang membabitkan para pemimpin dari semua parti politik harus disemarakkan.
Jika diteliti semua nilai yang digariskan dalam 1Malaysia, ia jelas menunjukkan nilai-nilai sedia ada yang diajar oleh Islam dan agama lain. Bukankah perpaduan antara kaum juga melibatkan pelbagai agama? Maka, marilah kita menyikapi agenda 1Malaysia ini dengan teknik yang diajarkan Allah dalam menyantuni fahaman agama lain dengan mencari garis penyatuan dalam isu-isu tertentu.
"Katakanlah: "Wahai ahli kitab, marilah kamu kepada kalimat yang bersamaan antara kami dan antara kamu..."(Ali Imran 3:64)
Salam, baru wat blog dah terus tikam kerajaan. brani sungguh!!!
ReplyDelete